Khamis, 29 November 2007

Pelacuran - Johor | NOV

PONTIAN: Sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Megah di sini, dikesan dijadikan lokasi sekumpulan wanita warga Vietnam yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pelacuran di sekitar daerah ini dan kawasan berdekatan.

Kegiatan itu terbongkar apabila tujuh wanita warga negara itu berusia antara 21 dan 30 tahun ditahan dalam serbuan di rumah itu, kira-kira jam 8 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Zahaliman Jamin, berkata pihaknya percaya wanita terbabit menjalankan kegiatan berkenaan di daerah ini dan daerah berdekatan dengan menjadikan rumah berkenaan sebagai tempat tinggal.

"Sebaik menerima maklumat orang ramai, kami melakukan intipan sebelum melakukan serbuan ke atas rumah berkenaan dan menemui ketujuh-tujuh wanita warga asing itu.

"Kami percaya taktik sindiket pelacuran itu ialah dengan membawa wanita warga asing kepada pelanggan pada sebelah malam sebelum menghantar mereka kembali ke rumah berkenaan sekiranya mendapat permintaan daripada pelanggan," katanya di sini, semalam.

Zahaliman berkata, siasatan awal polis percaya sindiket pelacuran yang menempatkan wanita warga asing di kawasan perumahan berkenaan baru beroperasi baru-baru ini.

Katanya, wanita warga asing itu dipercayai masuk ke negara ini melalui negara jiran menggunakan pas lawatan sah.

"Kami kini menahan reman wanita terbabit untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 372(1) Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, Zahaliman berkata, pihaknya menahan seorang lelaki dipercayai pengedar dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Air Baloi, dekat sini semalam.

Beliau berkata, lelaki rakyat tempatan berusia 50 tahun itu ditahan sepasukan polis cawangan Narkotik diketuai Cif Inspektor Jhong Lak Po, kira-kira 5 pagi.

"Walaupun suspek cuba melarikan diri, dia dapat ditahan di dalam rumah selepas polis mengepung rumah berkenaan.

"Pemeriksaan polis menemui satu paket heroin seberat 48.5 gram. Suspek yang masih bujang ini akan direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Difahamkan, kejayaan menahan pengedar dadah mengikut Seksyen 39B ADB 1952 itu adalah kejayaan kedua dalam tempoh seminggu di daerah ini selepas penahanan seorang lelaki berusia 30 tahun di rumahnya di Teluk Kerang di sini, Isnin minggu lalu. - Sumber