Ahad, 6 Julai 2008

Pelacuran - Kuala Lumpur (Jalan Ipoh) JUL

KUALA LUMPUR: Remaja wanita tempatan seawal usia 17 tahun menjadi tarikan utama sebuah hotel di Jalan Ipoh, di sini, kerana menawarkan khidmat pelacuran dengan bayaran kira-kira RM100 untuk ‘urusniaga’ selama 30 minit.

Pengurusan hotel berkenaan dikesan turut menawarkan gadis warga asing, termasuk dari China, dan khidmat pelacuran itu disediakan 24 jam sehari.

Kegiatan hotel seks terbabit bagaimanapun terbongkar selepas sepasukan anggota polis dari Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi menyerbu hotel berkenaan kira-kira jam 4.45 petang kelmarin.

Sumber polis berkata, serbuan itu menyebabkan beberapa pelacur yang ada di dalam bilik tidak sempat melarikan diri untuk bersembunyi.

“Berikutan itu polis menahan tiga pelacur, termasuk seorang gadis bawah umur, yang ketika itu dipercayai melayan pelanggan masing-masing.

“Mereka dipercayai pelacur sepenuh masa berdasarkan penemuan kondom dan peralatan yang digunakan untuk melakukan seks,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, seorang daripada yang ditahan adalah warga China berusia 23 tahun yang menyalah guna pas lawatan sosial untuk kegiatan pelacuran.

“Dua lagi ialah wanita tempatan. Seorang berusia 33 tahun dan berasal dari Ampang, manakala seorang lagi berusia 17 tahun dan di Lorong Tiong Nam, di sini.

“Polis turut merampas bahan bukti iaitu 19 kondom pelbagai jenama dan gel pelincir yang ditemui dari bilik hotel diserbu,” katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga pelacur itu ditahan mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sumber berkata, operasi membanteras sarang pelacuran di sekitar ibu kota kini dipergiatkan dengan serbuan dilakukan di lokasi popular, termasuk di Jalan Petaling dan sekitar Brickfields yang diserbu sejak dua minggu.

Menurutnya, polis sebelum ini turut mengadakan operasi membersih sarang pelacuran di Jalan Thambypillai, Brickfields, dan berjaya menahan lebih 20 pelacur yang menjalankan kegiatan di rumah kedai dua tingkat.

Dalam serbuan minggu lalu, polis turut menahan beberapa lelaki yang dipercayai ‘bapa ayam’. - Sumber