Khamis, 4 September 2008

Pelacuran - Pahang (Kuantan) SEP

KUANTAN: Sebuah hotel murah di Jalan Wong Ah Jang, di sini, menyewakan stor, pejabat serta surau pada kadar RM40 satu malam kepada pasangan kekasih selepas menyambut Ambang Merdeka selepas semua bilik habis ditempah, awal pagi semalam.

Kegiatan pengusaha hotel terbabit dikesan sepasukan penguat kuasa agama yang membuat serbuan dalam operasi mencegah maksiat selama tiga jam mulai jam 6 pagi di hotel murah sekitar bandar.

Difahamkan hotel murah terbabit mengenakan bayaran antara RM15 hingga RM40 untuk penginapan satu malam di bilik tidur biasa dan terpaksa menyewakan stor, pejabat serta surau berikutan permintaan tinggi pelanggan.

Malam kelmarin, bandar ini dibanjiri kira-kira 3,000 orang yang menyaksikan pertunjukan bunga api serta pelbagai acara kebudayaan bagi meraikan sambutan malam Hari Kemerdekaan Ke-51 di Jalan Tun Ismail, di sini.

Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Badaruddin Ahmad Bustami, berkata dalam serbuan awal pagi itu, pihaknya menahan 18 pasangan kekasih disyaki berkhalwat selepas memeriksa enam hotel murah.

“Pasangan terbabit ditahan selepas siasatan awal mendapati masing-masing tiada hubungan sah suami isteri dan dibawa ke pejabat agama untuk diambil keterangan.

“Semua pasangan ditahan ketika sedang tidur dan mereka mengaku mendaftar masuk ke bilik hotel terbabit selepas menyambut perayaan Ambang Merdeka yang diadakan di pusat bandar,” katanya.

Menurutnya, sebuah hotel yang diperiksa didapati menyewakan bilik stor, pejabat dan sebuah bilik yang dijadikan tempat sembahyang untuk pelanggan muslim.

“Kita kesal dengan sikap pengusaha hotel murah terbabit yang tergamak menyewakan bilik sembahyang kepada pasangan berikutan semua bilik penginapan sudah penuh.

“Perbuatan itu jelas menunjukkan pengusahanya mahu mengaut keuntungan lebih tanpa memikirkan sensitiviti agama.

“Namun, lebih dikesali sikap penyewa bilik sembahyang itu yang tergamak membelakangkan agamanya sendiri semata-mata mahu membuat maksiat,” katanya.

Katanya, beberapa pasangan dipercayai melakukan persetubuhan haram selepas pemeriksaan mendapati pakaian masing-masing berselerak di lantai.

Malah, katanya, ada tertuduh wanita yang berbogel dan hanya berselimut sebelum diarahkan mengenakan pakaian bagi membolehkan pemeriksaan lanjut diteruskan, selain bersembunyi dalam bilik air dan di belakang pintu.

Badaruddin berkata, semua pasangan terbabit dibawa ke pejabat agama untuk disoal siasat selain diberi kaunseling selepas masing-masing gagal membuktikan mereka mempunyai hubungan sah suami isteri.

Beliau berkata, matlamat Jaip mencegah maksiat di bandar ini tidak akan tercapai jika hotel sedemikian dibiarkan beroperasi.

“Kami memandang serius kegiatan pengusaha hotel terbabit yang cuba menggalakkan maksiat terutama di kalangan remaja dengan menyediakan kemudahan sedemikian.

“Justeru, saya meminta kerjasama pihak berkaitan yang mengendalikan operasi hotel supaya menjalankan pemeriksaan di tempat sedemikian kerana dikhuatiri kegiatan maksiat menjadi-jadi sekali gus menyumbang kepada peningkatan gejala sosial,” katanya.

Katanya, pasangan terbabit juga ternyata tidak menghayati erti kemerdekaan sebenar apabila menyalahgunakan kebebasan dan kepercayaan diberi ibu bapa untuk melakukan maksiat.

Sehubungan itu, pasangan terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987) kerana berkhalwat dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 dan penjara enam bulan. - Sumber